Tiada Kaitan Dengan 1MDB, Akaun Peribadi Najib Tidak Lagi Dibekukan

Akaun perbankan milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lagi dibekukan pihak berkuasa setelah didapati ia tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

loading...

Sumber SPRM berkata, penarikan pembekuan tersebut dibuat sejak semalam lagi selepas mendapati ia juga tidak berkait dengan siasatan terhadap anak syarikat 1MDB iaitu SRC International Sdn Bhd (SRC).

” Betul, sejak semalam lagi, akaun peribadi milik Najib sudah tidak lagi dibekukan pihak berkuasa kerana siasatan mendapati, ia tidak mempunyai kaitan dengan 1MDB atau SRC,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya sama ada penarikan pembekuan itu turut membabitkan akaun lain termasuk milik anak Najib, sumber berkenaan berkata, tidak mempunyai maklumat tentangnya namun tidak menolak kemungkinan pembekuan beberapa lagi akaun lain juga sudah ditarik balik.

” Tidak pasti mengenai akaun lain itu, mungkin ada tapi tiada maklumat mengenainya, namun yang pasti, ada banyak akaun lain yang masih dibekukan dan sedang disiasat” tambahnya.

Pada 2 Julai lalu, SPRM mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan bahawa sebanyak 408 akaun bank melibatkan dana RM1.1 bilion dibekukan SPRM.

Pembekuan akaun bank tersebut turut membabitkan 81 individu serta 55 syarikat dan dilakukan pada 26 dan 29 Jun lalu.

Kesemua akaun dibekukan itu difahamkan ada kaitan dengan penyelewengan dan salah guna dana 1MDB membabitkan kira-kira 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 hingga September 2015.

Sumber dari NewsOnline

loading...